Thursday 28 February 2013

PRABACAAN - SUBJEK LITERASI BAHASA WAJ3104


Definisi dan Konsep Prabacaan

Prabacaan ialah tahap penyediaan murid-murid untuk membaca di mana guru perlulah menyediakan pengalaman bahasa iaitu mengenal dan mengecam huruf. Murid perlu didedahkan dengan aktiviti yang boleh mendorong murid-murid dalam mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Ia perlu bagi membentuk kelaziman membaca seperti membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah.

Kemahiran Prabacaan merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap kanak-kanak sebelum mempersiapkan diri untuk membaca. Sepertimana kita memanaskan badan sebelum memulakan sebarang aktiviti bersukan, maka begitu juga halnya dengan kemahiran prabacaan. Kemahiran prabacaan ibarat sesi memanaskan badan sebelum kanak-kanak dapat membaca. Kanak-kanak perlu disediakan mindanya untuk membaca. Proses Prabacaan merupakan langkah penyediaan minda kanak-kanak untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka untuk membaca.

Semasa proses prabacaan, guru perlulah menyediakan pengalaman bahasa , iaitu mengenal dan mengecam huruf. Murid perlu didedahkan dengan aktiviti yang boleh mendorong murid-murid dalam mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran.  Prabacaan perlu dimulakan di peringkat awal kerana seorang kanak-kanak mampu membaca di peringkat awal sekiranya diberi pendedahan lebih awal. Kebanyakan kemahiran Prabacaan diperolehi oleh kanak-kanak secara tidak langsung sepanjang tempoh perkembangan mereka.

Menurut Laporan Profil Membaca Rakyat Malaysia 1996, didapati 79% kanak-kanak 5-9 tahun boleh membaca. Ini menjadi bukti yang kanak-kanak boleh membaca di peringkat awal. Menurut Donahue (1992), kanak-kanak yang berumur tiga hingga enam tahun perlu diberi galakan mengembangkan bahasa mereka melalui aktiviti lisan, cerita dan nyanyian. Selain dari itu, mereka juga memerlukan bimbingan dalam kemahiran pratulis dan prabacaan.

Kepentingan Prabacaan

Prabacaan merupakan langkah kesediaan  murid untuk membaca. Pada peringkat awalnya, kesediaan membaca ditakrifkan sebagai satu peringkat bagi menyediakan kanak-kanak untuk bacaan awal atau bacaan asas. Pada tahap ini, murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Konsep kesediaan membaca bukan sahaja meliputi pengajaran kemahiran-kemahiran sebelum bacaan, tetapi juga merangkumi setiap kemahiran sebelum kemahiran membaca secara khusus dan berterusan. 

Untuk mencapai kemahiran-kemahiran tersebut, aktiviti prabacaan perlu diterjemahkan kepada aktiviti yang meliputi pengajaran dan pembelajaran seperti mengecam persamaan dan perbezaan bunyi, mendengar dan membezakan nama huruf, mengecam dan mengajuk persamaan dan perbezaan bunyi huruf, membina suku kata, membaca perkataan dan diikuti dengan membaca ayat mudah dan rangkai kata. Selain daripada itu, aktiviti permainan huruf, suku kata dan perkataan untuk mengukuhkan lagi kemahiran tersebut. Guru hendaklah menjalankan aktiviti melukis garisan-garisan tertentu yang menyerupai huruf. Garisan-garisan ini hendaklah dimulakan dengan garisan lurus atau bentuk-bentuk yang seimbas dengan huruf yang diperkenalkan kepada murid.

Kandungan objektif pengajaran prabacaan mempunyai kesamaan dengan aktiviti kesediaan membaca (Aukerman, 1971). Beliau telah mengenal pasti enam program yang spesifik untuk menggalakkan kesediaan membaca iaitu mengenal nama huruf, belajar bunyi huruf dan membaca seluruh perkataan, mendapatkan pengalaman membaca, kemahiran berkomunikasi dan mendengar puisi.

Kesediaan Membaca

Kesediaan membaca merujuk kepada kemahiran membaca pada peringkat awal kanak-kanak. Penyelidik-penyelidik dalam bidang ini menerangkan aspek kesediaan membaca melalui istilah yang berbeza seperti “kemunculan bacaan” atau emergent literacy (Sulzby, 1991), kesediaan membaca (Downing & Thackray, 1975; Fortson, L. R. & Reiff, J. C., 1995; Yeo 2004, 2006, etc.), teachable moment perihal membaca (Dechant (1991), dan kesediaan bersekolah (Kagan, 1992). Biar apa sekalipun istilahnya, kesediaan membaca pada dasarnya dikaitkan dengan kemampuan dan keupayaan membaca dalam kalangan murid-murid prasekolah, iaitu peringkat sebelum memasuki alam persekolahan.

Kata orang bijak pandai, “Kunci untuk mendapat pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan.” Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga. Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik. Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi. Aktiviti prabacaan perlu dimulakan di peringkat yang lebih awal sepertimana puisi lama yang menyebut:

“Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab”

Puisi ini jelas menunjukkan bahawa seseorang kanak-kanak itu perlu didedahkan dengan aktiviti prabacaan di peringkat awal, diibaratkan seperti sebelum bayi tumbuh gigi lagi. Itulah gambaran positif masyarakat Melayu yang menekankan kepentingan membaca perlu dimulakan di peringkat awal. Puisi ini jelas menyokong bahawa kesediaan membaca adalah bermula di peringkat kanak-kanak masih bayi lagi.

Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada dua, iaitu peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan peglihatan, aktviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan, dan latihan bahasa pertuturan. Peringkat bacaan pula meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca ayat. 

Menurut Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly, Chong (1992) pula, tahap prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan kata lain, makna istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama. Pada tahap ini, murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran.

Bagaimanapun setiap kanak-kanak mempunyai tahap kesediaan membaca masing-masing. Sebagai guru dan ibu bapa, kita perlu sedar bahawa tahap kesediaan membaca bagi setiap kanak-kanak adalah tidak sama. Kesediaan membaca bagi kanak-kanak adalah di pengaruhi oleh beberapa faktor. Secara khusus, untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas.

Syed Abu Bakar Syed Akil dalam bukunya Panduan Mengajar Kemahiran Membaca (1994) menyatakan bahawa peringkat kesediaan membaca sangat penting. Menurutnya, “Jika tahap ini tidak dicapai terlebih dahulu, usaha untuk mengajarkan kemahiran membaca bukan sahaja sia-sia, malah boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada kanak-kanak, ibu bapa dan guru.”

Beliau berpendapat, konsep kesediaan membaca ini samalah dengan keadaan semula jadi yang dialami oleh kanak-kanak dalam perkembangan otot-otot tubuh mereka. Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan, mereka perlu meniarap, merangkak dan berdiri terlebih dahulu. Kebolehan menggerakkan otot-otot tertentu mengikut urutan sebelum berjalan dapat dianggap sebagai pecahan kemahiran berjalan. Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran membaca, cuma bentuknya berbeza.

No comments:

Post a Comment